Sepertinya ruang ini terus kaku dan beku kebelakangan ini. Hakikatnya terlalu banyak yang ingin aku coretkan di sini. Tetapi adakalanya masa seperti mencemburui apatah lagi emosi yang tidak memberikan kerjasama sebaiknya. Maka, terdamparlah sepi ruangan ini. Sunyi.
Arus kehidupan semakin deras dan badai yang datang adakalanya menjadikan kelemasan di dalam duniaku. Kosong. Sepi. Tatkala badai datang menyapa, terkapai-kapai aku melambai. Tenggelam timbul dalam arus kehidupan. Penat. Lelah.
Adakalanya terasa ingin pergi. Pergi jauh Dari dunia yang kosong ini. Mencari jati diri yang entah hilang ke mana. Benarlah, roda kehidupan tidak pernah berhenti berputar. Selagi matahari setia menemani selagi itulah roda ini tidak akan berhenti.
Seringkali hati ini meronta, menghadapi kerenah manusia yang sering berpura-pura. Lelah. Menyampah. Tapi apakan daya? Inilah warna sebenar yang bernama manusia.
Lelah. Menambah kelelahan pabila hati di sakiti oleh mereka yang kononnya mengerti. Pabila keakraban menjadi tiket untuk berkata apa jua perkataan yang kadangkala sangat melukakan. Tetapi, atas nama keakraban, seolah menjaga hati itu bukan kemestian. Maka berkatalah apa sahaja, melepaskan kemarahan tak kira masa, janji hati mereka puas berkata-kata. Janji kemarahan dapat di lepaskan tanpa pernah ingin memikirkan situasinya bagaimana. Aduhai manusia. Aku juga manusia seperti kalian semua. Senyuman Dan girangnya kata-kata adakalanya bukanlah gambaran sebenar apa yang ada di dalam sana.
Terluka. Tapi untuk apa dipaparkan? Maka, terdamparlah ia memendam rasa. Di luar bergelak ketawa, tetapi di dalam menangis siapa yang sangka? Kalian, saat berbicara, janganlah sesedap rasa. Kerana ada kalanya ia sangat melukakan. Jika sampai saat aku diam membisu, maka, berhentilah dari berkata-kata. Kerana apa? Kerana ianya sangat mengguris rasa. Belajarlah menghormati hati manusia lainnya.
Diam. Berlalu. Jangan di Tanya Kenapa? Kerana jika ini yang berlalu, tandanya segalanya berakhir di situ. Di noktah itu.
with luv,
No comments:
Post a Comment