Wednesday, January 1, 2014

Welcome 2014



Assalammualaikum w.b.t,

1 January 2014. Sekejap sungguh masa berlalu. Tahun baru, sinonim dengan azam baru. Azam baru aku? Azam lama pun masih ada yang belum tercapai. Yang masih pending akan di bawa ke tahun ini. Hari pertama menjejakkan kaki ke tahun 2014 lagi aku telah di uji. Alhamdulillah. Mungkin ujian ini petanda kejayaan bakal menyusul di tahun 2014? Wallahu'alam.

Hidup ini umpama sungai yang mengalir dan terus mengalir. Namun, di sepanjang pengalirannya mungkin terjumpa sisa-sisa sampah yang di lakukan oleh manusia yang rakus kononnya demi sebuah pembangunan. Namun hakikatnya kerakusan yang bersifat pentingkan diri masih menjadi tuan kepada si rakus ini. 

Namun, pernahkah sungai ini berhenti mengalir? Tidak bukan. Inilah perjalanan hidup kita yang terus bergerak dan berdepan dengan pelbagai onak dan duri yang menjadi pengalaman di masa akan datang. Adakalanya air yang mengalir cetek sahaja dan adakalanya air yang mengalir deras seperti air bah yang bakal menenggelamkan kampung-kampung di sekitarnya. Oh, sungguh... ianya sukar di duga. 

2014 Yang Semakin Mencabar

Kenaikan taraf hidup memang dijangka akan berlaku tahun ini. Terkesankah aku? Tanya pada hati. Sejujurnya, aku masih belum terlalu merasai kesannya. Di mulakan dengan kenaikan harga minyak di akhir 2013 sedikit sebanyak ada kesannya namun kerana jarak perjalananku yang pendek setiap hari tidak terlalu rasa kesannya. 2014 bakal menyaksikan kenaikan harga tol pula. Jujurnya, aku tidak terlalu terkesan dengan kenaikan harga tol kerana sepanjang perjalanan ke tempat kerjaku tidak melalui sebarang tol namun, di sebalik kenaikan harga tol ini akan menyaksikan kenaikan kos sara hidup yang lain. Yes! Aku pasti akan terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ini. Maka, bersediakah aku?

Apapun cabarannya, 2014 bakal menyaksikan impian demi impian  terlaksana, insyaallah. Terutamanya di dalam dunia jahitan dan bisnes Shakleeku. Terlalu banyak impianku untuk dua perkara ini. Hidup bebas hutang menjadi agenda utama selain merealisasikan matlamat yang sekian lama. Mempunyai studio jahitan memang menjadi matlamatku tahun ini. Membina dan memperkukuhkan empayar Cinta Health juga agenda penting 2014. Jodoh? Aku biarkan Tuhan yang menentukannya. Kerana jodoh bukan di tanganku. Apa yang boleh aku rancangkan, akan aku rancang dan laksanakan tetapi apabila melibatkan jodoh ajal dan maut, aku tidak punya jawapan. Moga ada kebaikan di sebalik kejadian. 

Impian 2014

Mempunyai rumah sendiri yang lengkap dengan studio menjahit. Menjadi agenda utama untuk aku mencari lokasi yang sesuai dengan harga yang berpatutan. Mengikut rancangan asal, aku inginkan rumah di atas tanah yang mana harganya memang sangat tinggi di tengah kota ini. Jika ini pilihanku, banyak perkara perlu aku korbankan. Atau pilihan kedua, mencari apartment atau kondominium yang aku jadikan studio jahitan dan juga homestay sebagai punca pendapatan tambahan. Jika ini yang menjadi pilihan, rumah ini hanya menjadi tempat persinggahan sahaja. Akan aku jadikan salah satu biliknya sebagai studio jahitan dan selebihnya akan aku sewakan sebagai homestay. Atau mungkin membuat kelas-kelas kemahiran, seperti kelas jahitan di hujung minggu bagi menampung kos. 

Pilihan pertama adalah untuk kesenangan Mak &  Abah. Pilihan kedua adalah untuk perkembangan dunia jahitanku. Apa pun pilihanku nanti, harapnya dapat membahagiakan Mak & Abah juga. Ini impian utama aku. Membahagiakan Mak & Abah.



Mencari keredhaan Illahi

Ada sesuatu yang ingin aku lakukan untuk memperbaiki hubunganku dengan Yang Maha Pencipta. Kadangkala dalam perbuatan sehari-hari aku terlupa menjaga hubunganku dengan Sang Pencipta. Manusia memang selalu lupa.

Apa pun lukisan atau lakaran yang bakal terlukis untuk kanvas 2014, harapnya, ada bahagian untuk ahli keluargaku yang lain. Mak Abah, kakak dan adik-adik dan anak-anak buah juga. Lebih banyak memberi kepada mereka menjadi antara agenda dan matlamat di tahun ini.

Bismillahirrohmanirrohim....


Nota kaki : 2013 menyaksikan tahun yang paling kurang berkongsi di blog. 2014 menyaksikan lebih banyak perkongsian. Insyaallah. Doakan saya ok.....

with luv,

No comments:

Post a Comment