Hari ke 6.
Alhamdulillah, selesai melalui perjalanan yang panjang semalam. Hari ini jadual lebih santai dan relax. Di sebabkan kelewatan pulang dari umrah tengah malam tadi, Subuh hari ini hanya di bilik sahaja. Di Mekah, aku sekeluarga duduk di hotel Al Jazeera. Kali ini aku sekeluarga terpisah dengan jemaah yang lain kerana pakej premium yang kami pilih. Hotel kami lebih dekat dan lebih selesa dari jemaah yang lain. Tapi yang tak bestnya terpisah hotel. Jadi, masa makan kami hanya sekeluarga sahaja tidak seperti di Madinah tempoh hari. Makan pun hanya di bilik.
Oh ye, pakej aku all inclusive. Termasuk makan dan minum, Jadi tidak susah dan pening-pening nak cari makanan. Sampai masa, makanan telah pun tersedia di bilik. Alhamdulillah. Ada juga pakej yang tidak menyediakan makan dan minum ketika di sini jadi kalian yang bercadang hendak mengerjakan umrah bolehlah membuat pilihan. Bagi aku, lebih baik yang tersedia semuanya memandangkan jadual yang agak padat di samping keadaan di sini yang agak sesak dan ramai jemaah.
Jarak hotel ke masjid lebih kurang 250m. Lebih jauh berbanding di Madinah tempoh hari yang jaraknya hanya sekitar 100m dari hotel ke Masjid Nabawi. Di sini aku duduk bilik join di mana dalam bilik ada bilik. Haaa camne tu. Dalam bilik kitorang ada 2 bilik yang bersambung. So agak privacy. Apapun agak selesa. Dengan keadaan lif yang lebih luas dan lebih banyak berbanding jemaah aku yang lain. Pemilihan lif ni penting tau. Kenapa penting? Sebab, setiap hari akan ada jemaah yang baru check in dan ada jemaah yang nak check out. Dan biasanya mereka berkumpulan. So bayangkan, kalau lif hanya ada satu atau dua dan kecil pulak tu. Macam mana agaknya nak bawak beg yang bertimbun-timbun dan bersesak pula dengan jemaah yang nak ke masjid.
Apapun, berdoalah. Kat sini, hanya doa yang dapat membantu perjalanan dan urusan kita. Jangan bersangka-sangka. Sentiasa sersangka baik maka akan mudahlah urusan hari itu.
Zohor pertama di Masjidil Haram.
Lihat betapa ramainya jemaah yang berpusu-pusu.
Di sini, keadaan lebih sesak. Jika lewat keluar ke masjid maka, pintu akan di tutup. Terpaksalah solat di dataran masjid atau di kaki lima hotel dan kedai.
Perkara pertama yang perlu di bawa ke masjid ialah plastik seliper. Mujur beg sandang yang pihak Asfa sediakan agak besar. Aku suka sangat beg ni sebab boleh muat seliper sekali dalam beg. So tak susah nak simpan seliper/sandal. Sandal perlu di simpan dalam plastik dan di bawa bersama masuk ke dalam masjid sebab kita tidak tahu pintu mana yang kita akan keluar nanti. Jadi, untuk memudahkan, bawalah plastik atau karung. Ada sesetengah pintu di masjidilharam di sediakan plastik ada yang tidak. Untuk kemudahan sendiri, bawalah plastik siap-siap.
Perjalanan dari hotel ke masjid mengambil masa lebih kurang 15 minit berjalan kaki. Melalui jalan-jalan yang sesak, kedai-kedai jualan dan bangunan-bangunan yang masih dalam pembinaan. Habuk berterbangan di sana sini. Sepanjang di sini, aku memang mengenakan niqab. Keluar sahaja dari hotel untuk ke Masjid, aku jarang-jarang tanggalkan niqab kecuali ketika ziarah luar dan ketika mengerjakan umrah.
Cukup selesa aku rasakan ketika mengenakan niqab di sini walaupun cuaca agak panas berbanding ketika di Madinah. Selalunya, zohor aku ke masjid. Kemudian pulang ke hotel. Asar di bilik. Manakala Maghrib dan Isyak di masjid. Di sebabkan laluan dan jalan nak ke masjid tidak rata, maka Mak hanya melakukan yang wajib sahaja. Mak hanya solat dibilik untuk memberikan kemudahan kepada kami melaksanakan ibadah. Hanya aku adik beradik dan abah yang ke Masjid setiap hari dan hampir setiap waktu. Kadang-kadang aku bawa juga Mak ke masjid tapi keluar awal sedikit sebab lutut mak tak dapat nak berjalan lama. Maka perlukan banyak persinggahan.
Selepas Isyak.
Walaupun jadual agak santai hari ini, aku tetap tak punya banyak masa untuk shopping. Selepas Isyak, aku ajak Boy berpusing-pusing sebentar melihat-lihat jualan yang ada. Abah dan abang balik dahulu ke hotel. Tak ada shopping apa pun malam ni, sekadar berjalan-jalan dan terus pulang ke hotel.
Jika ada kesempatan, kalian boleh membuat tawaf sunat. Tawaf sunat boleh dilakukan pada bila-bila masa. Kebanyakan jemaah gemar membuat tawaf sunat selepas fardhu Subuh ataupun selepas fardhu zohor sementara nak menunggu waktu Asar. Ada juga yang melaksanakan tawaf sunat selepas Isyak. Terpulang kepada masing-masing.
Esok ada ziarah luar dan umrah yang kedua. Jadi kena bersedia fizikal dan mental.
Cerita lanjut Umrah:
with luv,
No comments:
Post a Comment